Datuk Dr Abdul Rahman Lakukan Lawatan Kerja Ke Kampung Hijrah Simunjan

RABU, 26 OKTOBER 2022

SIMUNJAN: Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Utiliti) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi melakukan lawatan kerja ke Kampung Hijrah di sini pada Selasa.

Lawatan beliau turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Awla Dris bagi meninjau tapak cadangan tangki aras tinggi yang dipohon untuk menampung keperluan penduduk di kawasan Pekan Simunjan.

Sejurus selepas itu, beliau melawat ke Loji Rawatan Air Simunjan.

Datuk Dr Abdul Rahman memberitahu, keprihatinan dan komitmen kerajaan Sarawak dan kerajaan persekutuan kepada penambahbaikan infrastruktur serta sistem bekalan air di Bahagian Samarahan termasuk di daerah Simunjan dizahirkan dengan pelaksanaan projek-projek bekalan air yang memakan belanja sehingga RM109.2 juta.

Justeru ujarnya, daerah Simunjan bakal menyaksikan suatu perubahan besar dalam penyelesaian kemelut bekalan air bersih dan terawat yang sering dialami oleh penduduk selama ini apabila pelaksanaan projek-projek tersebut siap dilaksana menjelang tahun 2023.

“Pada masa akan datang tiada lagi gangguan bekalan air secara mendadak walaupun waktu musim tengkujuh.

Jadi dengan adanya bekalan air yang dilaksanakan ini dapat mengatasi masalah tersebut dan memberi manfaat kepada penduduk di DUN Simunjan,”katanya dalam sidang media selepas lawatan berkenaan.

Turut hadir ialah Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Dan Telekomunikasi Sarawak Syed Mohd Fauzi Sahab, Pengarah JBALB Ir Chang Kuek Shian, Pengurus Besar Kuching Waterboard Rodziah Mohd dan Timbalan Residen Bahagian Samarahan Mohamad Irwan Bahari Bujang.-Edisi UKAS

add comment