JHS Adakan Lawatan Ke Hanoi, Pelajari Konsep Pengurusan Ladang Hutan

RABU, 26 OKTOBER 2022

HANOI: Seramai 22 pegawai dari Jabatan Hutan Sarawak (JHS) yang diketuai pengarahnya Datu Hamden Mohammad telah mengadakan lawatan kerja sambil belajar ke Institute of Forest Tree Improvement and Technology (IFTIB) di Hanoi, Vietnam pada 17 hingga 21 Oktober.

Lawatan kerja sambil belajar itu bertujuan untuk memerhati konsep pelaksanaan dan pengurusan ladang hutan yang diusahakan syarikat-syarikat terkemuka termasuk ladang hutan yang diusahakan oleh petani secara kecil-kecilan.

Di samping itu, lawatan ini juga bertujuan untuk mempelajari dan berkongsi ilmu pengetahuan baharu berkaitan kerja penyelidikan dan pembangunan yang boleh dikembangkan secara intensif bagi memperkasakan lagi pembangunan ladang hutan di Sarawak pada masa akan datang.

Turut serta dalam rombongan itu ialah Pengurus Besar Sarawak Timber Industry Development Corporation (STIDC), Datu Hashim Bojet, Pengurus Besar Harwood Timber Sdn Bhd (HTSB), Zainal Abidin Abdullah, Pengurus Besar Sarawak Planted Forest (SPF), Paul Valentine, Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Timber Association (STA) Annie Ting dan Pengarah IFTIB, Dr. Nguyen Duc Kien. -EDISI UKAS

add comment