Sarawak, Kazakhstan Perkukuhkan Hubungan Perniagaan

RABU, 26 OKTOBER 2022

KUCHING: Kerajaan Sarawak terus memperhebat dan memperkukuhkan hubungan dengan Kazakhstan terutama sekali dalam bidang perniagaan.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ini akan memberi peluang dan mempermudahkan ahli perniagaan di negeri ini untuk melakukan pelaburan di negara berkenaan.

“Kazakhstan mempunyai pelbagai sumber iaitu dari segi sumber asli, dan mereka membangun dengan sangat pantas bukan sahaja aktiviti ekonomi berasaskan semula jadi tetapi pembangunan infrastruktur mereka serta peluang yang mereka ada untuk memudahkan ahli perniagaan kita.

“Jadi yang paling penting mereka mesti tahu apakah peluang yang boleh diambil untuk sektor swasta kita,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan ‘Forum Peluang Perniagaan di Kazakhstan’ yang diadakan di Hotel Grand Margherita di sini pada Rabu.

Terdahulu semasa berucap, Datuk Amar Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak berkata, forum yang diadakan itu membantu dalam memastikan kelancaran hubungan perniagaan dan pengukuhan hubungan antara Kazakhstan dan Sarawak.

“Ini adalah platform yang tepat untuk memadankan perniagaan yang sesuai dari Kazakhstan dengan peserta yang hadir di sini hari ini, yang terdiri daripada usahawan dan wakil syarikat serta agensi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC’s),” ujarnya lagi.

Hadir sama dalam program ini ialah Konsul Kehormat Kazakhstan Sarawak Pengiran Dato’ Dr (Ts) Daud, Duta Republik Kazakhstan ke Malaysia Bulat Sugurbayev, ADUN Jepak Datuk Talib Zulphilip, ADUN Tanjong Batu Johnny Pang Leong Ming, dan bekas ADUN Gedong Datuk Mohd Naroden Majais.-EDISI UKAS

add comment