Lawas Bakal Jadi Pengeluar Keju Berjenama Mozarella Menjelang 2024

KHAMIS, 27 OKTOBER 2022

LAWAS: Lawas bakal muncul sebagai pengeluar keju berjenama Mozarella yang dihasilkan dari susu kerbau bermutu tinggi menjelang 2024.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom yakin nilai tambah ternakan kerbau ini akan menyumbang kepada pertumbuhan sektor industri makanan Sarawak.

Malah, secara tidak langsung memberikan pendapatan tambahan kepada penternak kerbau di daerah Limbang dan Lawas.

“Kita berharap dapat melihat keju Mozarella di pasaran tidak lama lagi. Menerusi Jabatan Veterinar Sarawak kita menjalinkan kerjasama supaya kita dapat merancakkan industri ruminan,” katanya pada Majlis Menandatangani Penswastaan Stesen Kerbau Meragang Lawas antara Jabatan Veterinar Sarawak dan Syarikat Green Valkey Meragang Dairy di sini, pada Selasa.

Ujarnya lagi, M-FICORD akan terus melakukan usaha sama dengan beberapa syarikat swasta lain yang mempunyai kepakaran dan keupayaan dalam menganjak sektor pertanian tradisi kepada pertanian moden. 

Ini termasulah meningkatkan ternakan kerbau di Sarawak daripada 6,000 ekor ketika ini kepada 20,000 menjelang tahun 2030.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri M-FICORD, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Maclaine@Martin Ben, Timbalan Menteri Pengangkutan, Dato Henry Sum Agong, pegawai-pegawai kanan M-FICORD dan wakil Syarikat Green Valley Meragang Dairy.-EDISI UKAS

add comment