Razaili Gapor Adakan Mesyuarat Khas PBB Cawangan Beting Maro

JUMAAT, 28 OKTOBER 2022

BETONG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Razaili Gapor mengadakan mesyuarat khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Beting Maro, bersama 35 PBB Cawangan Beting Maro bertempat di Dewan Al Amin Beladin, Pusa pada Rabu.

Mesyuarat itu bertujuan melihat kembali keadaan semasa di kawasan masing-masing bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan datang.

Dalam pertemuan itu, beliau menyerahkan kepada Premier Sarawak untuk menentukan calon Batang Lupar dan menyeru orang ramai menyokong penuh calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) di kawasan Batang Lupar.

Katanya, Presiden parti GPS mahukan semua 31 kerusi Parlimen dimenangi oleh GPS dalam PRU kali ini.

“Perjumpaan kali ini diadakan untuk mengatur persediaan bagi menghadapi PRU ke-15 setelah Parlimen dibubarkan.

“Dalam PRU ke-15 kali ini jumlah pengundi di Beting Maro telah bertambah kepada 15, 350 pengundi akibat pendaftaran automatic ke atas golongan belia oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya.

Tambah Razaili, PBB Beting Maro turut melihat kembali kelemahan dan kekuatan semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu dan menambah baik lagi kerja-kerja memperbaiki kelemahan tersebut.

“GPS perlulah bekerja kuat untuk memenangi calon PBB di kawasan Batang Lupar.

“Kerajaan Sarawak juga amatlah prihatin dengan masalah di kawasan luar bandar dan berusaha untuk meningkatkan lagi pembangunan di kawasan luar bandar khususnya Batang Lupar,” jelasnya lagi.

Turut hadir Timbalan Ketua Cawangan Beting Maro Mohd Shafizan Kiplie, S/U Cawangan Beting Maro Rosli Uji, Ketua Wanita PBB Beting Maro Hajijah Lueng serta tetamu lain.-EDISI UKAS

add comment