Galak Murid Sentiasa Aktif Dalam Aktiviti Kokurikulum – Dato Sri Lee

SABTU, 29 OKTOBER 2022

MIRI: Aktiviti kokurikulum berupaya memberikan kecergasan tubuh badan dan kecerdasan otak kepada murid-murid agar sentiasa aktif, kata Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Seri Lee Kim Shin semasa merasmikan Hari Sukan SJK (C) Chung Hua Lutong di Stadium Terbuka Miri pada Sabtu.

Sehubungan itu, katanya, penglibatan pelajar dalam kegiatan kokurikulum juga mampu memupuk nilai perpaduan dan memberi peluang kepada mereka untuk menyemai semangat kesukanan.

Ujarnya, aktiviti kokurikulum ini perlu dititikberatkan dengan penyertaan daripada pelajar yang terdiri daripada pelbagai latar belakang kaum, bangsa dan agama. 

Sebagai contoh, aktiviti bersukan memerlukan persefahaman antara satu pasukan bagi memperoleh kemenangan dalam sesebuah pertandingan. 

Dalam pada itu, beliau turut menyeru para pelajar agar tidak ketagih dengan penggunaan telefon pintar sejajar dengan perkembangan teknologi semasa

Justeru, ibu bapa perlu mengawal penggunaan telefon bimbit dalam kalangan anak-anak dengan mengehadkan masa selama sejam untuk menjalin komunikasi yang penting sahaja supaya tidak menjejaskan prestasi dan masa depan anak-anak.

Hadir sama di majlis itu Pengerusi Lembaga Sekolah SJKC Chung Hua Lutong Kapitan Chong Ah Muk, Guru Besar SJKC Chung Hua Lutong Lai Cheo Tian, Ahli Majlis Bandaraya Miri.Cr Jeffrey Phang dan Kapitan Ngieng Hock Diing. -EDISI UKAS

add comment