Pesta Tasik Biru Diteruskan Tahun Depan

SABTU, 29 OKTOBER 2022

BAU: Pesta Tasik Biru akan diteruskan lagi pada tahun depan selepas mencapai kejayaan sepanjang 11 hari ia diadakan tahun ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai Dan Laut) Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Dato Henry Harry Jinep berkata, sambutan Pesta Tasik Biru tahun ini amat luar biasa dengan adanya sokongan daripada pelbagai pihak.

Menurutnya, antara pihak yang terlibat adalah warga kerja dari jabatan-jabatan kerajaan negeri dan persekutuan, Ketua Masyarakat Ketua Kaum (KMKK), Ahli-Ahli Majlis Daerah Bau serta penglibatan pelbagai Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO)

“Tahun ini ia ada kelainan sedikit dengan banyak produk yang kita tampilkan kepada pengunjung kita.

“Bukan sahaja program Tasik Biru itu sendiri tetapi perubahan landskap yang kita lihat berubah dari satu masa ke satu masa,” katanya dalam Majlis Malam Apresiasi Tasik Biru 2022 di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Pegawai Daerah Bau, Anielia Siam, Setiausaha Majlis Daerah Bau, Ng Siang Wei serta tetamu jemputan lain.

Sementara itu katanya, sebagai wakil rakyat bersama ADUN Serembu, Miro Simuh dan ADUN Batu Kitang, Ir.Lo Khere Chiang, mereka telah menampakkan kesinambungan pembangunan yang dirancang di bandar Bau.

“Apabila kita memajukan kawasan Bau sesekali kita tidak melupakan kawasan luar bandar dan itulah kenapa pihak Pegawai Daerah mengajak semua KMKK untuk turut serta sama-sama menjayakan program ini.

“Kita tidak tinggalkan intipati program-program yang melibatkan orang kampung dan dengan adanya jaringan yamg begitu baik antara KMKK dan orang kampung kita berjaya mengadakan program yang tidak meninggalkan asal usul, warisan dan budaya kita,” katanya lagi. -EDISI UKAS

add comment