Pertandingan Bakat Sukan Ketengah Bakat & Potensi Golongan Belia

AHAD, 30 OKTOBER 2022

MIRI:  Pertandingan Bakat Sukan yang dianjurkan Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) adalah platform untuk mengetengahkan bakat dan potensi golongan belia agar dapat diperkembangkan lagi.

Timbalan Menteri Belia,Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dr Ripin Lamat berkata, beliau menyokong penganjuran pertandingan berkenaan untuk melahirkan bakat baru yang terpendam serta memupuk minat serta semangat kesukanan yang tinggi dalam kalangan belia.

“Kita memang mencari bakat dalam bidang sukan dan juga bakal-bakal usahawan dalam kalangan belia. “Kita bukan sahaja mencari bakat dalam sukan tetapi juga kita mencari mereka yang hendak menjadi usahawan.

“Saya berharap penglibatan mereka ini diperluas kepada pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) ataupun sekolah menengah di masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Pertandingan Bakat Sukan di Stadium Tertutup Miri pada Sabtu Dr Ripin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir menambah, beliau yakin masih terdapat banyak lagi bakat golongan belia yang dipendam dan memerlukan platform untuk mengasah bakat mereka itu.

Justeru katanya, kerjasama dengan pihak sekolah atau persatuan-persatuan juga perlu dilakukan bagi mengasah bakat golongan belia dalam bidang sukan dan pembangunan usahawan.-EDISI UKAS

add comment