PPWS Miri/ Bintulu Anjur Majlis Makan Malam Sambutan Jubli Intan Ke-60

AHAD, 30 OKTOBER 2022

MIRI: Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Cawangan Miri/Bintulu telah menganjurkan Majlis Makan Malam bersempena Sambutan Jubli Intan Ke-60 di Dynasty Hotel, Miri pada Sabtu.

Hadir menyempurnakan majlis itu ialah Datuk Bandar Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Pujut Adam Yii Siew Sang serta turut dihadiri oleh EXCO PPWS Cawangan Miri/Bintulu Hilda Mesen Mayor, EXCO PPWS Cawangan Miri/Bintulu Julia Payeng, dan Pengerusi Cawangan Miri/Bintulu Habsah Daub.

Majlis Sambutan Jubli Intan Ke-60 PPWS kali ini yang bertemakan “Pemangkin Komuniti Dinamik” adalah bagi mengenang kembali detik bersejarah penubuhan PPWS menyelusuri fasa-fasa perkembangan PPWS dalam mengendalikan program dan aktiviti yang bertunjangkan tujuh bidang.

Bidang berkenaan ialah kemahiran keusahawan, kepimpinan, khidmat masyarakat, kesejahteraan keluarga, kesihatan, pemerkasaan digital serta memacukan pencapaian ahli selaras dengan perkembangan dan transfomasi abad ke-21.

PPWS ditubuhkan untuk membantu wanita khususnya di kawasan luar bandar dengan mewujudkan program terancang dan aktiviti yang memberi didikan dan kemahiran seperti pemakanan sihat, penjagaan kebersihan diri, masakan, kraftangan dan sebagainya.

Penubuhan PPWS telah membuka peluang kepada ahli-ahli PPWS daripada seluruh Sarawak untuk berkongsi maklumat dalam pelbagai aspek dan cabang ilmu.

Dalam majlis, turut disampaikan Anugerah Wanita Inspirasi kepada Dato Ursula Goh, Anugerah Wanita Cendera Kirana kepada Robiah Hasbi, Pungut Dris, dan Hamdiah Abdullah serta Anugerah Cerah Cemerlang kepada PPWS Daerah Bintulu/Tatau.-EDISI UKAS

add comment