Program UPU2U Sebar Luas Peluang Pendidikan IPTA & ILKA Kepada Pelajar Sekolah Di Lawas

AHAD, 30 OKTOBER 2022

LAWAS: Program UPU2U yang bertujuan untuk menyebarluaskan peluang pendidikan di Institusi Tinggi Awam (IPTA) dan di Institusi Latihan kemahiran Awam (ILKA) telah diadakan di daerah Lawas baru-baru ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia Dato’ Henry Sum Agong telah hadir merasmikan program berkenaan diadakan di Stadium Tertutup di sini.

Program berkenaan merupakan kali kedua diadakan untuk para pelajar dari empat buah sekolah menengah di daerah berkenaan yang melibatkan pelajar Tingkatan 4, 5 dan 6 sebagai peserta.

Dalam program itu juga, tiga buah Universiti awam turut terlibat antaranya Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Terdahulu, Dato’ Henry telah meluangkan masa melawat enam buah kampung iaitu Kampung Tanjong Katong, Kampung Seberang, Kampung Sinampuan, Kampung Tanjong Pagar, Kampung Baru dan Kampung Luagan.

Dalam lawatan tersebut, beliau telah menyampaikan geran peruntukan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kampung tersebut.-EDISI UKAS

add comment