Rakyat Diingatkan Tidak Terpedaya Dengan Taktik ‘Politic Of Fear’ Pembangkang

SABTU, 29 OKTOBER 2022

LAWAS: Rakyat diingatkan agar tidak terpedaya dengan taktik politik menakut-nakutkan yang akan digunakan pihak pembangkang untuk meraih sokongan pada pilihan raya umum akan datang.

Menurut Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, helah pembangkang dengan memburukkan kerajaan kononnya akan merampas tanah hak adat bumiputera (NCR) adalah taktik ‘politic of fear’ yang sering digunakan semasa musim pilihan raya untuk mendapatkan sokongan politik.

Tegasnya, kerajaan tidak sesekali berbuat seperti apa yang didakwa oleh pembangkang, sebaliknya akan memastikan setiap peraturan perundangan dipatuhi jika ianya dilaksanakan.

“Saya bagi contoh, soal tanah adat. Semasa pilihanraya, belum lama. Dikatakan seluruh kawasan Trusan ini akan dirampas oleh kerajaan. Seluruh kawasan di Trusan ini akan diisytihar sebagai hutan lindung.

“Kalau pun ada perancangan untuk kita nak menjadikan kawasan itu sebagai kawasan hutan lindung, kita tidak akan buat sebarangan. 

“Kita akan jumpa semua yang terlibat. Kalau ada sebahagian daripada kawasan itu yang tertakluk dengan kawasan tanah adat bumiputera yang sahih, yang mengikut perundangan, yang benar-benar dimiliki oleh kita, ianya akan dikeluarkan.

“Banyak sudah kawasan-kawasan ini sudah disukat dan dikeluarkan dengan dokumen di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah dan ada juga berdasarkan permohonan yang disukat secara individu,” katanya semasa berucap pada Program ‘Pemung, Peruyud dan Petuuh’ di Dewan Kampung Long Tuan, Trusan Lawas pada Sabtu.

Turut hadir Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, Dato Henry Sum Agong, Pemangku Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Samuel Simon, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Awangku Jinal Abedin Dato Pangiran Hj Jawa dan Pengarah Wilayah NRDA Datu Ubaidillah Abdul Latif.

Menurut Datuk Amar Awang Tengah lagi, helah pembangkang dengan menggunakan isu perkauman untuk meraih sokongan politik semasa pilihan raya juga tidak berkesan kerana kerajaan Sarawak mengamalkan sikap inklusif kepada semua rakyatnya tanpa mengira latar belakang.

Katanya, ini dibuktikan melalui penubuhan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) yang berperanan menjaga kebajikan agama-agama lain di negeri ini.

“Ada sebab di negeri Sarawak kita tubuh UNIFOR. Jabatan Agama Islam untuk agama Islam. Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain untuk menjaga agama lain.

“Kita bantu sampai sekarang pun bukan melalui peruntukan diberikan oleh UNIFOR ini, malah saya sendiri gunakan peruntukan MRP saya untuk bantu gereja dan kuil.

“Kita mahu hidup dalam perbezaan agama namun harmoni dan bersatu. Tetapi apabila tiba waktu pilihan raya, ada yang akan gunakan isu agama, isu kaum,” tegasnya lagi.

Dalam hal ini, Datuk Amar Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak mahu rakyat khususnya di Trusan memberikan sokongan padu dan kemenangan besar kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada PRU15 nanti.

Katanya, mandat yang besar kepada GPS akan membolehkan suara Sarawak lebih kuat dalam memperjuangkan hak dan kepentingan negeri ini terutama berkaitan Perjanjian Malaysia (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).

“Kita mahu kemenangan yang besar bukan sahaja di Lawas tetapi di seluruh Sarawak supaya suara kita di Parlimen semakin kuat untuk kita memperjuangkan hak dan kepentingan negeri ini seperti termaktub dalam MA63 dan Laporan IGC,” katanya.

Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari itu lagi, banyak lagi perancangan pembangunan akan dibawa ke kawasan Trusan seperti penyediaan infrastruktur, pendidikan, kesihatan, anjung usahawan dan banyak lagi. – EDISI UKAS

add comment