Setiap Sekolah Digalak Tubuh Pasukan Renang

ISNIN, 31 OKTOBER 2022

MIRI: Setiap sekolah di bandaraya Miri digalakkan menubuhkan pasukan renang masing-masing. 

Menurut Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, ini bagi melahirkan lebih ramai perenang yang akan mewakili Miri ke peringkat lebih tinggi. 

“Melalui penubuhan pasukan renang ini kita dapat mengenal pasti pelajar yang berpotensi untuk dilatih menjadi perenang berkebolehan.

“Ini sekaligus meningkatkan kecemerlangan sukan renang di Miri seperti tahun-tahun sebelumnya,” katanya semasa berucap merasmikan Penutupan Piala Cabaran Lee Kim Shin Ke-3 Tahun 2022 pada Ahad.

Seramai 150 perenang dari 24 buah sekolah telah mengambil bahagian dalam pertandingan ini yang menyaksikan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chung Hua Miri muncul juara keseluruhan bagi kategori sekolah menengah manakala Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Miri pula merangkul juara bagi kategori sekolah rendah. 

Hadir sama Pengerusi Persatuan Renang Amatur Miri (MASA) Lee Ling Wei dan Ahli Majlis Bandaraya Miri Kaunselor Jeffrey Phang Siaw Foong.-EDISI UKAS

add comment