Sultan Selangor Berangkat Tiba Di Bintulu

ISNIN, 31 OKTOBER 2022

BINTULU: Sultan Selangor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj berangkat tiba di Lapangan Terbang Bintulu bagi lawatan ke Bintulu, pada Isnin.

Keberangkatan baginda menggunakan pesawat khas disambut Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar.

Hadir sama Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Dr. Hazland Abang Hipni, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Dato Majang Renggi dan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.

Pada sebelah malam, baginda dijadualkan menghadiri Majlis Santapan Negeri yang dianjurkan di Hotel Parkcity Everly.

Majlis dijangka turut dihadiri Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

Pada Selasa, baginda dijadualkan berangkat ke Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu bagi menghadiri Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) Ke-46.

Baginda akan berangkat pulang ke Selangor pada sebelah petang.-EDISI UKAS

add comment