Sultan Selangor Berkenan Berangkat Ke Majlis Santapan Negeri Sempena Lawatan Ke Bintulu

ISNIN, 31 OKTOBER 2022

BINTULU: Sultan Selangor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj berkenan berangkat ke Majlis Santapan Negeri sempena lawatan baginda ke Bintulu di Grand Ballroom, Hotel Parkcity Everly di sini, malam tadi.

Keberangkatan tiba baginda disambut Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

Pada majlis tersebut, baginda dihiburkan dengan persembahan artis tempatan serta tarian kebudayaan.

Terdahulu, baginda menerima cenderahati daripada Tun Pehin Sri Abdul Taib diikuti Datuk Patinggi Abang Zohari dan daripada Ketua Kaum Bahagian Bintulu serta Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu.

Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk John Sikie Tayai, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Roland Sagah Wee Inn dan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta dif kenamaan negeri yang lain.-EDISI UKAS

add comment