COVID-19: Rakyat Dinasihatkan Tingkat Langkah Berjaga-Jaga

SELASA, 1 NOVEMBER 2022

KUCHING: Rakyat dinasihatkan untuk terus berwaspada bagi mengelak daripada wabak COVID-19 dari terus menular dalam kalangan masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, langkah berjaga-jaga perlu diambil susulan negara sedang berdepan gelombang kecil COVID-19 membabitkan sub-varian Omicron XBB seperti yang diumumkan oleh Menteri Kesihatan Malaysia Khairy Jamaludin pada Isnin.

“Saya merayu kepada semua rakyat Sarawak untuk mengambil langkah berjaga-jaga sebaik mungkin terutamanya apabila kita bakal menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang akan datang ini.

“Sila pakai pelitup separuh muka terutamanya apabila anda berada khalayak ramai dan berada di kawasan yang sesak,” katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan perasmian Persidangan dan Pameran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Borneo kali ketujuh (BOSH 2022) di sini pada Selasa.

Timbalan Premier Sarawak itu juga menambah, wabak COVID-19 masih lagi menular di negeri ini yang mana kes-kes COVID-19 ini terus dicatatkan setiap hari.

Walaubagaimanapun ujarnya, Sarawak masih bebas daripada sub-varian berkenaan setakat akhir September.

Justeru tegas beliau, perkara yang paling penting dilakukan masyarakat pada ketika ini ialah dengan meningkatkan tahap kewaspadaan masing-masing.

Untuk rekod, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam sidang media di Putrajaya pada Isnin memaklumkan bahwa Malaysia sedang berdepan gelombang kecil peningkatan kes COVID-19 susulan penemuan subvarian Omicron XBB di Malaysia.

Beliau berkata berdasarkan data harian, bilangan kes baharu COVID-19 meningkat sebanyak 16.5 peratus, iaitu dari 14,525 kes pada Minggu Epidemiologi (ME) 42 kepada 16,917 kes pada ME 43 (23 Oktober hingga 29 Oktober).

Pihaknya mengesyaki trend kenaikan ini didorong oleh subvarian XBB yang menjadi punca gelombang di Singapura yang telah ambil masa tiga hingga empat minggu untuk menurun.

Ujar beliau, Malaysia juga berdepan kemungkinan dengan jangkitan varian XBB dengan empat kes telah dikesan sehingga 27 Oktober lepas,” jelas beliau.-EDISI UKAS

add comment