Keselamatan Dan Kesihatan Di Tempat Kerja Perlu Sentiasa Diutamakan

SELASA, 1 NOVEMBER 2022

KUCHING: Aspek keselamatan dan kesihatan di tempat kerja perlu sentiasa diutamakan dalam pembangunan ekonomi atau perniagaan.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, sekiranya kecederaan dan kehilangan nyawa, kerosakan harta benda atau suasana tempat kerja yang selamat dari segi kesihatan diabaikan, ia akan membawa kemudaratan kepada pekerja, majikan, serta alam sekeliling yang akhirnya akan merugikan semua pihak.

Menurutnya, tidak dapat dinafikan bahawa keselamatan dan kesihatan di tempat kerja adalah faktor yang amat penting di semua sektor yang harus diberi perhatian yang serius.

“Justeru, usaha untuk mempertingkatkan kefahaman semua pihak mengenai keperluan untuk menyediakan tempat kerja yang baik harus dipuji dan mendapat sokongan semua pihak berkepentingan.

“Saya ingin memberi jaminan bahawa kerajaan Sarawak komited dan akan terus menyokong usaha-usaha yang dimainkan oleh semua pihak di dalam memastikan kesejahteraan setiap lapisan masyarakat.

“Usaha Insititut Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) sebagai sebuah agensi kerajaan persekutuan di bawah Kementerian Sumber Manusia perlu diberikan sokongan sama ada oleh pihak kerajaan mahupun pihak industri,”katanya.

Beliau berucap demikian dalam majlis perasmian Persidangan dan Pameran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Borneo kali ketujuh (BOSH 2022) di sini pada Selasa.

Beliau menambah, NIOSH melalui penganjuran BOSH 2022 ini adalah antara aktiviti yang dapat memberikan ilmu pengetahuan dan perkongsian pendapat di dalam memastikan kemalangan yang membawa kecederaan mahupun kematian dapat dikurangkan.

Ujar Datuk Amar Douglas Uggah lagi, tema BOSH 2022 iaitu Kesaksamaan, Kelestarian dan Kemakmuran seharusnya menjadi pegangan.

Jelas beliau, ia selaras dengan konsep yang diperjuangkan oleh pihak kerajaan negeri di bawah pimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di dalam apa juga perancangan untuk menjadi negeri maju untuk perlu mengambil kira aspek kesamarataan bagi memberi daya tahan melawan cabaran masa untuk menjamin kemakmuran setiap rakyat Sarawak.

Sementara itu, Pengerusi NIOSH Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata, BOSH 2022 diadakan untuk mengumpul para pengamal keselamatan dan kesihatan, majikan dan pekerja serta pakar-pakar dalam pelbagai disiplin dalam usaha memperkasa keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan di tempat kerja.

“NIOSH telah membawakan 11 orang pakar dari dalam dan luar negara dalam pelbagai disiplin yang akan memberikan manfaat kepada semua.

“BOSH 2022 kali ini menghimpunkan 400 orang peserta, 18 organisasi pempamer dan NIOSH juga menjemput pelawat dari pelbagai organisasi kerajaan dan swasta.

“Kita juga menjemput beberapa institusi pendidikan untuk turut mengambil peluang mendapatkan maklumat sebanyak mungkin agar menjadi ilmu berguna kepada para pelajar dan pensyarah,”jelas Datuk Wilson.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Antarabangsa) Kementerian Sumber Manusia Maniam Arumugam, Pengarah Eksekutif NIOSH Malaysia dan Naib Presiden Kanan ( Kesihatan, Keselamatan, dan Persekitaran) Sarawak Energy Marconi Madai.-EDISI UKAS

add comment