SELASA, 1 NOVEMBER 2022
KUCHING: Pasukan Kuching City FC (KCFC) melakar sejarah tersendiri apabila mara ke peringkat suku akhir saingan Piala Malaysia 2022 selepas berjaya menyingkirkan Pulau Pinang dengan kemenangan 2-1 pada aksi timbal balik di Stadium Negeri, Petra Jaya pada Isnin.
Kuching City FC mara dengan agregat 4-3 selepas kedua pasukan seri 2-2 dalam aksi pertama pada 26 Oktober lepas di Stadium Bandaraya Pulau Pinang.
Pada perlawanan malam tadi, Kuching City FC terikat 1-1 dengan Pulau Pinang dalam aksi 90 minit.
Lucas Espinddola Da Silva terlebih dahulu meletakkan Pulau Pinang di hadapan menerui jaringan pada minit ke-22.
Bagaimanapun, kelebihan pelawat dipadam Mohd Alif Hassan pada minit ke-62 dengan menjaringkan gol cantik menerusi sepakan percuma.
Kedudukan itu memaksa perlawanan diheret ke permainan masa tambahan.
Wan Mohamad Faiz muncul wira Kuching City FC selepas menanduk masuk gol kemenangan tuan rumah pada minit ke-118 sekali gus membawa pasukannya ke saingan kalah mati.
Sementara itu, Pengerusi Kuching City FC, Fazzrudin Abdul Rahman amat gembira dengan kejayaan pasukannya mara buat julung kalinya ke peringkat suku akhir saingan Piala Malaysia.
“Saya amat bersyukur dan berbangga dengan pencapaian pasukan yang telah menempah sejarah pertama kalinya memasuki suku akhir Piala Malaysia.
“Kehadiran penonton yang begitu ramai merupakan faktor penyumbang kepada semangat pemain-pemain malam tadi.
“Saya yakin dengan semangat sebegini, kita mampu untuk memberi saingan bagi merebut tempat ke separuh akhir,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Pada peringat suku akhir, Kuching City FC akan menentang Sabah FC pada 5 November di Stadium Negeri, Petra Jaya.
Manakala perlawanan timbal balik di Stadium Likas akan berlangsung pada 11 November 2022.
Sementara itu, nasib berbeza diharungi Sarawak United apabila tersingkir dari saingan selepas sekadar seri 1-1 menentang Kelantan FC malam tadi di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV.
Pada aksi pertama di Stadium Negeri Petra Jaya, Sarawak United tumpas 0-1. – EDISI UKAS