Zon Perindustrian Kidurong & Taman Perindustrian Samalaju Wujudkan Banyak Peluang Pekerjaan

SELASA, 1 NOVEMBER 2022

BINTULU: Pembangunan pesat industri di Bintulu khususnya yang bertapak di Zon Perindustrian Kidurong dan Taman Perindustrian Samalaju mampu mewujudkan banyak peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang seperti bidang teknikal, perkhidmatan dan pengurusan. 

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju, Dato Majang Renggi, ini sudah tentu ramai pencari pekerjaan dari dalam mahupun luar negara akan bertandang ke Bintulu untuk mencari rezeki. 

“Pertumbuhan industri yang semakin rancak di sini telah menyebabkan Bintulu mengalami gelombang pembangunan kedua seperti mana berlaku pada awal tahun1980-an. 

“Di sinilah wujudnya peluang, seandainya sukan rakyat dapat dijadikan aktiviti tahunan dan secara tidak langsung akan menjadikannya salah satu daripada tarikan pelancongan untuk datang ke sini,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Penangguhan Pesta Sukan dan Perlawanan Akhir Bola Sepak Terbuka  9 Sebelah Kampung Kuala Nyalau di Dewan Serbaguna Kuala Nyalau pada Ahad. 

Jelasnya lagi, beliau percaya ini mampu menggalakkan perkembangan kraftangan industri serta makanan budaya dan tradisional memandangkan ramai pekerja-pekerja dan warga industri yang akan berkunjung ke Kampung Nyalau untuk menikmati keunikan tersebut. 

Pesta Sukan dan Perlawanan Akhir Bolasepak Terbuka  9 Sebelah Kampung Kuala Nyalau merupakan anjuran Kelab Fustal Top Eight Bintulu bertujuan bagi membina sahsiah, menggalakkan semangat berpasukan serta membantu dalam memperkukuhkan lagi semangat perpaduan di kalangan masyarakat yang berbilang kaum di Sarawak. 

Turut hadir, Presiden Kelab Futsal Top Eight Bintulu Halimah Musa, Ketua Kampung Kuala Nyalau Amit Salleh dan Ketua Kampung Ulu Nyalau Tasim Sabtu.-EDISI UKAS

add comment