Kerajaan Sarawak Tubuh SPCC, Usaha Jaga Kesihatan Mental & Kesejahteraan Rakyat

RABU, 2 NOVEMBER 2022

KUCHING: Kerajaan Sarawak memandang serius terhadap penjagaan kesihatan mental serta kesejahteraan rakyat terutamanya bagi mereka yang mengalami gangguan psikologi.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, bagi tujuan itu, beliau telah mengarahkan penubuhan Pusat Kaunseling Psikologi Sarawak (SPCC).

“Setakat kini, terdapat 488 kaunselor yang aktif berkhidmat kepada komuniti di seluruh Sarawak.

“Negeri ini mempunyai jumlah penduduk seramai 2.9 juta. Maknanya, seorang kaunselor akan mencurahkan khidmat bakti kepada 6,000 orang.

“Menyedari kepentingan perkhidmatan kaunseling dan psikologi, Sarawak membayangkan visi ‘Satu Komuniti Satu Kaunselor’ yang menyasarkan pencapaian kesejahteraan holistik untuk rakyat kita,” katanya pada program International Counselling Convention (ICC) 2022 Gala Dinner di Hotel Riverside Majestic di sini pada Rabu.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari menambah, kerajaan Sarawak sedar akan keperluan dan cabaran yang timbul akibat situasi hidup yang sentiasa berubah.

Beliau memberitahu, Pasukan Petugas COVID-19 misalnya telah berjaya menggunakan platform kaunseling secara atas talian untuk memberikan perkhidmatan kepada mereka yang memerlukan.

“Pada tahun 2021, pasukan tersebut berjaya memberikan khidmat kaunseling kepada 5,490 klien yang memerlukan sokongan psikologi dalam pelbagai isu,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan lain, Premier Sarawak mengumumkan penubuhan ASEAN Counselling Network (ASCON) yang merupakan inisiatif dimulakan oleh Persatuan Kaunseling Malaysia Antarabangsa (PERKAMA International) di mana ia bertujuan memperkasakan lagi usaha kolaboratif berkaitan perkhidmatan kaunseling dalam kalangan kaunselor-kaunselor dari rantau ASEAN.

Pada majlis sama, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari telah menyempurnakan penyampaian 13 anugerah kecemerlangan bersempena dengan ICC 2022 iaitu lapan penerima untuk kategori organisasi serta lima penerima untuk kategori individu.

Premier Sarawak turut melancarkan dua buku berjudul ‘Sarawak Civil Service Value Index’ dan ‘Sarawak Civil Service Employee Wellbeing Index’.

Difahamkan, pelancaran indeks tersebut merupakan usaha kerajaan bagi menjamin sebuah ekosistem yang berkembang maju dalam sektor awam.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Dr. Sabariah Putit, Presiden Persatuan Kaunseling Antarabangsa Prof. Dr. William A. Borgen, Presiden PERKAMA International Dato Dr. Abdul Halim Hussin dan Naib Canselor UNIMAS Profesor Datuk Dr. Mohamad Kadim Suadi. -Edisi UKAS

add comment