Premier Sarawak Terima Kunjungan Hormat Daripada Menteri Kanan Pertahanan Malaysia

RABU, 2 NOVEMBER 2022

KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menerima kunjungan hormat daripada Menteri Kanan Pertahanan Malaysia, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein di Wisma Bapa Malaysia pada Rabu.

Kunjungan hormat tersebut bertujuan membincangkan perkara berkaitan usahasama dalam memelihara keselamatan rakyat serta negeri Sarawak.

Mengulas dalam laman Facebook beliau selepas kunjungan hormat itu, Dato’ Seri Hishammuddin memberitahu kunjungan berkenaan adalah bagi mengesahkan lagi perkara itu.

“Kerjasama kerajaan Persekutuan dan kerajaan Negeri Sarawak cukup erat. Inilah teras terutama dalam usahasama memelihara keselamatan rakyat serta negeri Sarawak.

“Pertemuan saya bersama Premier Sarawak hari ini (Rabu) mengesahkan lagi perkara tersebut.

“Di pihak kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Pertahanan Malaysia, saya ulangi komitmen bahawa aturgerak aset dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke Sarawak akan terus ditingkatkan dari masa ke masa.

“Ia termasuklah bagi memperkukuh keselamatan di sempadan.

“Terima kasih Premier dan kerajaan Negeri Sarawak,” katanya. -EDISI UKAS

add comment