Rakyat Perlu Tingkatkan Pengetahuan Mengenai Keselamatan Rangkaian Internet

RABU, 2 NOVEMBER 2022

MIRI: Masyarakat perlu meningkatkan pengetahuan mereka terutama dari segi keselamatan rangkaian internet.

Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, ia penting bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa penipuan dalam talian dan jenayah siber.

“Jenayah siber dan kejadian buli siber semakin meningkat dari tahun ke tahun dan kata-kata kebencian, perkauman dan retorik jantina negatif kini mudah didapati.

“Kita sering lihat media tradisional dan media sosial banyak melaporkan kes seperti kes guru dan doktor yang ditipu ribuan ringgit, wanita tua dan lelaki tua terjumpa ‘Love Scammer’ dalam talian dan sebagainya.

“Banyak laporan menunjukkan bahawa Malaysia adalah salah satu negara di mana pengguna telefon pintar menghabiskan banyak masa dengan telefon mereka.

“Ini bermakna kita perlu meningkatkan pengetahuan dan bijak dalam penggunaan Internet dari segi keselamatan rangkaian,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Kaunselor Jeffrey Phang Siaw Foong dalam Forum Jenayah Siber dan Penipuan untuk meningkatkan keupayaan mengenalpasti kaedah sindiket penipuan dengan kerjasama Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Persekutuan Persatuan Cina Sarawak (FCA) Bahagian Miri pada Selasa.

Ujar beliau lagi, internet adalah ibarat pedang bermata dua yang mana ia memberi peluang kepada manusia, tetapi ia juga boleh membawa kemusnahan. 

Justeru katanya, pendidikan adalah penting kerana perkembangan Internet yang sentiasa berubah memerlukan masyarakat mempelajari ilmu terkini sepanjang masa.

Beliau turut mengingatkan kepada mereka yang menerima panggilan mencurigakan untuk mengambil sedikit masa untuk berfikir dan kongsi mengenai perkara itu dengan orang terdekat bagi mengelak daripada menjadi mangsa dalam sebarang penipuan.

Turut hadir ialah Datuk Bandar Miri merangkap ADUN Pujut Adam Yii Siew Sang, Ketua Polis Daerah Miri Alexson Naga Chabu, dan Presiden FCA Bahagian Miri Dato David Goh Kien Ping. -EDISI UKAS

add comment