Kerajaan Sarawak Sasar Bangunkan Mukah

KHAMIS, 3 NOVEMBER 2022

MUKAH: Kerajaan Sarawak menyasarkan untuk membangunkan Mukah dan keseluruhan negeri Sarawak. 

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg memberitahu pelan untuk merapatkan Mukah melalui pembinaan infrastruktur sedang dilaksanakan. 

“Walaupun mahal, Kerajaan Sarawak akan meneruskan dan menanggung projek-projek infrastruktur seperti Jambatan Igan yang dibatal sebab kita ada dana yang mencukupi,” jelasnya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Perasmian Program Sarawakku Sayang di Dewan Serbaguna Kampung Tellian Tengah di sini pada Khamis.

Mukah menjadi pembuka tirai program Sarawakku Sayang yang akan dilaksanakan di 10 lokasi di seluruh Sarawak. 

Terdapat pelbagai pengisian dan aktiviti meriah pada program tersebut yang berlangsung dari 2 hingga 3 November. 

Antaranya adalah Kaunter Perkhidmatan, Pameran, Sarawak Berambeh, Sukan Rakyat, Live Band dan Cabutan Bertuah.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari menambah, Sarawak juga memacu pendapatan negeri melalui penyimpanan karbon sebab kawasan perairan tanah di sini merupakan tempat yang sesuai untuk menyimpan karbon. 

Sejurus selepas itu, Premier Sarawak telah merasmikan Sesi Serah Surat Setuju Terima Projek dan menyaksikan acara demonstrasi Bidar Lukut. 

Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (KPWK) Dato Sri Fatimah Abdullah, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki,  Timbalan-Timbalan Menteri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine dan Residen Bahagian Mukah Kueh Lei Poh. -EDISI UKAS

add comment