PRU15: Dato Sri Nancy Pindah Parlimen Santubong

KHAMIS, 3 NOVEMBER 2022

KUCHING: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Dato Sri Nancy Shukri telah dicalonkan di Parlimen P193 Santubong bagi menggantikan Dato Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Keputusan tersebut diumumkan oleh Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) merangkap Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dalam sidang media yang berlangsung di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pada Khamis.

Dato Sri Nancy ketika ditemui media memberitahu, beliau akan meneruskan usaha Dato Sri Dr. Wan Junaidi dan GPS sehabis baik dan berharap penduduk di Parlimen Santubong dapat memberikan sokongan sepenuhnya kepada beliau sepanjang kempen PRU15.

“Saya berterima kasih kepada ketua kita Premier Sarawak dalam memberi peluang kepada saya di dalam Parlimen Santubong.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Dato Sri Dr. Wan Junaidi yang telah banyak memberi kemajuan di kawasan Parlimen Santubong selama ini,” katanya.

Untuk rekod, Dato Sri Nancy sebelum ini merupakan Ahli Parlimen Batang Sadong yang mana kini telah diganti oleh calon GPS yang baru, Rodiyah Sapiee. -Edisi UKAS

add comment