Kerajaan Sarawak Komited Tingkat Kemudahan Infastrusktur Taman Perindustrian Samalaju

JUMAAT, 4 NOVEMBER 2022

BINTULU: Kerajaan Sarawak komited untuk terus meningkatkan kemudahan infrastruktur di Taman Perindustrian Samalaju bagi menarik lebih banyak pelaburan yang berkualiti.

Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, kebanyakan para pelabur tertarik dengan potensi kuasa hidro hijau Sarawak dalam menghasilkan produk hijau seperti keluli, hidrogen dan komponen untuk bateri kenderaan elektrik (EV) ketika dunia bergerak ke arah pembangunan yang lebih mampan.

“Kerajaan Sarawak akan terus meningkatkan kemudahan infrastruktur di Taman Perindustrian Samalaju untuk menarik lebih banyak pelaburan berkualiti. 

“Kerajaan Sarawak melalui Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Sarawak Energy Berhad (SEB), LAKU dan sebagainya telah membelanjakan berbilion ringgit untuk membina jalan raya, loji rawatan air, pencawang dan lain-lain bagi memastikan taman perindustrian itu dapat memenuhi keperluan daripada para pelabur,” katanya. 

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibaca Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dalam Majlis Pecah Tanah Projek ECH di Samalaju Industrial Park, Bintulu baru-baru ini.

Jelasnya lagi, bagi menampung permintaan semakin meningkat di kawasan itu, Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) akan melaksanakan dua projek menaik taraf infrastruktur iaitu meningkatkan bekalan air daripada 80 Juta Liter Sehari (JLH) kepada 200 JLH menjelang 2025 serta menaiktaraf jalan pantai sedia ada di dalam taman daripada satu laluan kepada dua laluan. 

“Dengan keperluan yang lebih canggih dan khusus daripada pelabur sedia ada dan baharu, kemudahan pelabuhan di Taman Perindustrian Samalaju perlu diperluas dan dinaik taraf dengan kemudahan terkini serta lebih baik.

“Selain itu, Kerajaan Sarawak juga sedang membangunkan 1,000 ekar tanah di Taman Perindustrian Samalaju untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” ujarnya. 

Ujarnya lagi, sebahagian daripada pembangunan tersebut (100 ekar) dijangka siap menjelang akhir tahun 2023 dan PKS yang berminat seperti dalam perkhidmatan sokongan boleh menghubungi kementerian yang berkenaan.       

Justeru, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari berharap agar dapat melihat Taman Perindustrian Samalaju berkembang menjadi taman perindustrian yang boleh didiami dengan kemudahan landskap, perbandaran dan sosial yang sesuai dibangunkan untuk wujud bersama industri pembuatan.

Turut hadir, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak Datuk Malcom Mussen Lamoh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju Dato Majang Renggi, Pengerusi OCI Company Lth Baik Woo Sock dan Pengerusi Kumho Petrochemical Group Park Changgoo.-EDISI UKAS 

add comment