Pendidikan Komponen Upaya Ubah Landskap Masa Depan Pelajar

JUMAAT, 4 NOVEMBER 2022

BINTULU: Pendidikan merupakan satu-satunya komponen yang berupaya mengubah landskap masa depan para pelajar. 

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming, pelajar merupakan generasi yang akan mewarisi kepimpinan negara pada satu masa kelak. 

“Peluang pendidikan sangat cerah dan ambillah peluang yang diberikan ini untuk anda berjaya pada masa hadapan kelak.

“Kejayaan bukan sekadar diukur dengan kebijaksanaan, malah saya menyeru agar para pelajar mengembangkan potensi serta bakat sebaik menyambung pelajaran di institusi baik kerajaan mahupun swasta,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Hari Kerjaya dan Pendidikan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bintulu di Restoran Dinner World pada Rabu. 

Jelasnya lagi, Karnival Kerjaya ini adalah kesinambungan usaha murni dalam membantu Keluarga Malaysia, khususnya golongan remaja dan muda di kawasan sekitar untuk mendapatkan peluang menyambung pelajaran dengan lebih baik.

Ujarnya lagi, dengan adanya penerangan yang terperinci daripada pihak Yayasan Sarawak, Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Institut Pengajian Swasta (IPTS) dan sebagainya ia akan membuka minda para pelajar bahawa peluang untuk belajar itu sentiasa ada di mana-mana. 

Justeru, Jonny Pang mengucapkan tahniah dan syabas kepada PPD Bintulu kerana menganjurkan program seperti ini agar dapat membantu para pelajar untuk berfikir dan seterusnya mengorak langkah dalam menerpa kejayaan di peringkat yang lebih tinggi.

Turut hadir, Pegawai Pendidikan Daerah Bintulu Samri Suhaili dan Wakil Pengarah Yayasan Sarawak Husni Sabirin Sarbini.-EDISI UKAS 

add comment