Rakyat Perlu Ambil Peluang Manfaatkan Inisiatif Disediakan Kerajaan Sarawak

JUMAAT, 4 NOVEMBER 2022

BINTULU: Golongan B40 perlu mengambil peluang inisiatif yang disediakan Kerajaan Sarawak untuk memiliki rumah dengan memohon Deposit Perumahan dan Skim Bantuan Bayaran Balik (HDRAS), Rumah Spektra Mutiara (RSM) dan sewaan rumah melalui Skim Bantuan Sewa Sarawak (SRAS).

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan II Michael Tiang Ming Tee berkata, Kerajaan Sarawak sentiasa berusaha memastikan langkah-langkah dirancang dan dilaksanakan memberi manfaat kepada kumpulan sasar untuk merealisasikan ekonomi berpendapatan tinggi tahun 2030.

“Skim ini menyediakan peruntukan RM10 juta yang memberi manfaat kepada sekitar 1,200 pemilik rumah,” katanya ketika berucap di Majlis Penyerahan HDAS, RSM dan SRAS di Hotel Margherita Plaza, Bintulu pada Khamis.

Katanya, pada Oktober 2021, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr. Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg memperkenalkan Skim Bantuan Deposit Perumahan (HDAS) bagi menggalakkan kumpulan berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri dengan menyediakan bantuan deposit yang diurus Mutiara.

Melalui skim pertama diperkenalkan Kerajaan Sarawak di negara ini, bantuan deposit 10 peratus atau maksimum RM10,000 untuk deposit pembelian rumah mampu milik akan disalurkan bagi pembeli rumah pertama untuk kumpulan berpendapatan rendah di negeri ini.

Menurut Tiang lagi, untuk memperluas peluang pemilik rumah pertama mendapatkan HDAS, fungsi HDAS telah dipertingkat dengan dinamakan sebagai HDRAS berkuat kuasa 12 Oktober lalu yang menyediakan bantuan bayaran balik RM200 selama 48 bulan untuk pembeli dan pemilik rumah pertama yang layak mendapatkan pembiayaan penuh.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Datuk Talib Zulpilip, ADUN N68 Tanjung Batu Johny Pang, Residen Bahagian Bintulu Datu Jack Aman Luat, Ketua Pegawai Eksekutif, Mutiara Mortgage & Credit Shaharony Mat Nor. -EDISI UKAS

add comment