Rancangan Pembangunan Jangka Panjang Dilaksana Seluruh Sarawak

JUMAAT, 4 NOVEMBER 2022

SIBU: Rancangan pembangunan jangka panjang sedang dilaksanakan di seluruh Sarawak, termasuk Sibu.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata Kerajaan Sarawak sedang melaksanakan agenda pembangunan untuk menjadikan negeri ini sebagai negeri yang maju menjelang tahun 2030.

Beliau berucap merasmikan Sarawakku Sayang di Dewan Suarah di sini pada Jumaat.

Jelas Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari lagi, agenda pembangunan Sarawak ini merangkumi pembinaan infrastruktur yang boleh memanfaatkan rakyat di dalam dan di luar bandar Sibu.

“Jalan baru yang menyambung bandar lama Sibu kepada Sibujaya akan dibina dan jalan-jalan baru di Sibu juga akan dilaksanakan,” jelasnya.

Tambah beliau lagi, Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) daripada operasi minyak dan gas di Sarawak akan diberi balik kepada rakyat Sarawak dalam bentuk pembangunan.

Dalam pada itu, Premier Sarawak juga berkata sejak penubuhan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS), syarikat tersebut telah mencatatkan hasil yang baik dan sekarang ialah syarikat minyak dan gas yang ketiga terbesar di Malaysia.

Pada tahun lepas, PETROS telah mencatatkan hasil RM1.2 bilion dan dijangka berkembang kepada RM1.5 bilion pada tahun ini.

Sibu merupakan lokasi kedua program Sarawakku Sayang dilaksanakan di seluruh Sarawak yang bertujuan untuk memaklumkan rakyat Sarawak tentang program kerajaan.

Turut hadir ialah Timbalan Premier Dato Sri Dr. Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapa’ee, Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk John Sikie Tayai dan dif-dif kenamaan. -EDISI UKAS

add comment