FCA Digalak Libatkan Masyarakat Pelbagai Kaum Dalam Penganjuran Program

SABTU, 5 NOVEMBER 2022

MIRI: Persekutuan Persatuan Cina Miri (FCA) digalakkan untuk melibatkan masyarakat daripada pelbagai latarbelakang kaum dalam program serta aktiviti yang dianjurkan oleh mereka.

Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin Dato Sri Lee Kim Shin berkata, ini akan mempercepatkan proses perpaduan dalam kalangan masyarakat.

“Keharmonian antara kaum merupakan satu keunikan di negeri ini kerana Sarawak memiliki masyarakat yang mempunyai pelbagai latarbelakang kaum dan agama.

“Tambahan pula, Kerajaan Sarawak juga tidak mengetepikan kaum-kaum yang ada di negeri ini bahkan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) yang bertanggungjawab mengawal selia dasar bagi mempromosikan keharmonian antara agama selain menilai, mencadangkan dan merumuskan dasar, undang-undang dan peraturan yang berkaitan dengan hal ehwal agama bukan Islam di Sarawak,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Makan Malam bersempena Majlis Angkat Sumpah Perlantikan Ahli Jawatankuasa FCA di Eastwood Valley Golf & Country Club Miri pada Jumaat.

Dalam pada itu beliau juga menekankan mengenai tradisi kaum Cina yang mana ia perlu dikekalkan untuk generasi masa hadapan.

Jelas beliau, ia adalah bagi memastikan tradisi-tradisi lama mereka tidak pupus ditelan zaman yang serba moden ini.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Pelancongan,  Industri Kreatif dan Seni Persembahan I (Pelancongan) merangkap ADUN Piasau Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Datuk Bandar Miri merangkap ADUN Pujut Adam Yii Siew Sang, Konsulat Jeneral Republik Rakyat China di Kuching Xing Wei Ping, Presiden FCA Dato David Goh Kien Ping, Pengerusi Pengelola Majlis merangkap Naib Presiden FCA Dato Sri Wong Yew Hui, serta Calon GPS Miri Kaunselor Jeffrey Phang Siaw Foong.-EDISI UKAS

add comment