Jalan Baharu Johari Sunam Kini Dibuka Untuk Kegunaan Orang Awam

SABTU, 5 NOVEMBER 2022

BINTULU: Jalan baharu Johari Sunam ke jalan baharu Kemena Bintulu kini telah siap dan dibuka untuk kegunaan orang awam.

Timbalan Pengerusi Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) Dato Haidar Khan Ashgar Khan berkata, jalan baharu itu akan membantu meredakan aliran trafik yang sesak keluar masuk Bintulu terutamanya di persimpangan Batu 5 dan persimpangan Jalan Sibiyu – Bintulu/Sibu.

Ujarnya lagi, dengan siapnya jalan tersebut ia dapat mengurangkan kesesakan jalan raya serta memendekkan perjalanan ke Lapangan Terbang Bintulu.

“Jalan ini adalah berjumlah RM70 juta dan merupakan satu lagi hadiah daripada BDA kepada masyarakat Bintulu.

“Kami berharap fasiliti ini akan diguna sebaik mungkin oleh semua pemandu yang lalu terutamanya mereka yang menggunakan motosikal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Sila Lalu Laluan Jalan Baharu Link Road Johari Sunam Ke Jalan Baharu Kemena, Bintulu di sini pada Jumaat.

Dato Haidar Khan menambah, dengan adanya jalan baharu ini, diharapkan pengguna jalan raya di Bintulu akan mengalami perjalanan yang lebih lancar, selamat, mudah dan selesa.

Hadir sama ialah Pengurus Besar BDA Datu Muhamad Yakup Kari, Temenggong Rosli Kamaruddin, Temenggong Utong Sigan dan Temenggong Datuk Barry Yek Siew Hui.-EDISI UKAS

add comment