SABTU, 5 NOVEMBER 2022
SRI AMAN: Pelancaran ‘Sarawak Rural Broadband Network’ atau dikenali MySRBN merupakan antara satu lagi kejayaan kerajaan negeri dalam menyediakan perkhidmatan ‘home broadband’ yang berpatutan serta merapatkan jurang digital antara kawasan bandar dan luar bandar.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi berkata, terbaharu, Sarawak Digital Economy Corporation Berhad (SDEC) menyediakan perkhidmatan MySRBN tersebut di Batu Lintang di sini.
Menurut beliau, usaha seumpamanya juga dapat menggalakkan inovasi digital yang bakal membangunkan ekonomi digital di Sarawak.
“Arus permodenan dunia masa kini ternyata cukup pantas terutama sekali dalam bidang teknologi dan telekomunikasi.
“Justeru, kita harus sama-sama berubah dan bergerak ke hadapan agar tidak ketinggalan dan kami di Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi menyambut baik pengumuman dan usaha murni yang dilaksanakan untuk menambahbaik kesalinghubungan di Sarawak terutamanya di kawasan luar dan pinggir bandar.
“Kementerian bersama agensi pelaksana seperti SDEC akan meneruskan usaha meningkatkan liputan dan kualiti perkhidmatan jalur lebar 4G di pedalaman Sarawak,” katanya semasa Majlis Pelancaran Perkhidmatan Sarawak Rural Broadband Network (MySRBN) Batu Lintang di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis, Ketua Pegawai Eksekutif SDEC, Sudarnoto Osman,, Pengarah Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia, Negeri Sarawak, Adiman Ajem dan Residen Bahagian Sri Aman, Sirai Daha.
Datuk Julaihi menambah, majlis pelancaran itu amat bermakna kerana ia merupakan penanda aras pendigitalan di kawasan pedalaman wilayah Sarawak khususnya di Batu Lintang.
Katanya, sejak tahun 2017, kerajaan Sarawak telah memulakan usaha transformasi untuk negeri ini menjadi sebuah wilayah berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030.
“Untuk mencapai status ini, wilayah kita perlu mencapai kadar Keluaran Negara Kasar (GDP) sebanyak 8 peratus pada setiap tahun sehingga 2030. Hal ini boleh dicapai dengan peralihan daripada ekonomi tradisional kepada ekonomi digital.
“Oleh itu, demi mencapai ekonomi digital, Sarawak memerlukan internet yang berkelajuan tinggi untuk merealisasikan impian ini,” katanya. -EDISI UKAS