PRU-15: Premier Sarawak Harap Gerak Kerja Kempen Berjalan Lancar, Penuh Tertib

SABTU, 5 NOVEMBER 2022

KUCHING: Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang juga Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berharap gerak kerja kempen bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan berjalan lancar dengan penuh tertib.

Menurutnya, menerusi lawatan ke beberapa pusat penamaan calon, beliau melihat setiap kawasan Parlimen berhadapan dengan persaingan jumlah penjuru yang berbeza.

Jelas beliau, proses demokrasi ini akan memberi ruang kepada rakyat untuk memilih calon bagi memimpin mereka.

“Saya saksikan banyak kawasan-kawasan yang dipertandingkan ada yang dua penjuru, tiga penjuru, dan empat penjuru.

“Proses demokrasi ini akan memberi ruang kepada rakyat Sarawak untuk memilih calon-calon yang akan memperjuangkan dan juga mempertahankan hak kita melalui perundingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media di Pusat Penamaan Calon Petra Jaya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Petra Jaya, di sini pada Sabtu.

Premier Sarawak menambah, Sarawak juga berharap Kerajaan Persekutuan akan menjadi kerajaan yang stabil untuk memberikan perkhidmatan kepada rakyat.

“Selama empat tahun kita dah hanyak membuang masa dengan politik yang tidak menentu.

“Sepatutnya kita memberi perkhidmatan kepada rakyat lebih-lebih lagi dijangka pada 2023 sehingga 2024 berdepan dengan cabaran ekonomi yang sangat hebat.

“Sudah semestinya GPS akan meletakkan dasar dan hal-hal berkaitan Sarawak dan kepentingan di negeri ini diteruskan dengan kerjasama kerajaan persekutuan,” jelas beliau lagi.-EDISI UKAS

add comment