38 Ketua Diplomatik Adakan Lawatan Ke Bandaraya Miri Selama Dua Hari

AHAD, 6 NOVEMBER 2022

MIRI: Seramai 38 Ketua-ketua Diplomatik dari British, Bangladesh, Cambodia, France, Kuwait, Korea, Lao, Malaysia, Oman, Pakistan, Qatar, Russia, Thailand, Timorleste, Turkey, Vietnam dan Brunei Darussalam telah menyertai lawatan ke Bandaraya Miri selama dua hari bermula 5 November lepas.

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata program yang diadakan bertujuan bagi memperkenalkan adat dan budaya unik Sarawak setelah sektor pelancongan menurun susulan pandemik COVID-19.

Ujarnya, pelancongan antarabangsa dijangka meneruskan pemulihannya secara beransur-ansur pada 2022, apabila semakin banyak destinasi melonggarkan atau menarik balik sekatan perjalanan dan keyakinan untuk perjalanan pulang.

Jelasnya lagi, Pertubuhan Pelancongan Sedunia (UNWTO), pelancongan global mengalami peningkatan sebanyak 130 peratus pada Januari 2022 dengan lebih 18 juta ketibaan pelancong antarabangsa berbanding tempoh yang sama pada 2021.

“Dari Januari hingga Ogos tahun ini, ketibaan pelawat ke Sarawak meningkat 984.71 peratus  kepada 897,903 berbanding tempoh yang sama pada 2021.

“Ketibaan dari Brunei mencapai kemuncaknya pada 2019 apabila seramai 1,296,017 pengunjung tiba dari Brunei melalui pelbagai pintu masuk, yang majoritinya melalui Sungai Tujuh.

“Bagaimanapun, ketibaan dari Brunei pada tahun ini masih perlahan dan diharapkan ia akan meningkat secara beransur-ansur kerana pengunjung lebih yakin untuk mengembara,”jelasnya ketika berucap dalam Sesi Interaksi dan Makan Malam sempena Lawatan Ketua-ketua Diplomatik ke Miri, Sarawak pada Sabtu.

Malaysia membenarkan kemasukan bebas kuarantin untuk pelancong yang diberi vaksin sepenuhnya mulai 1 April 2022.

Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Dato’ Raja Reza Raja Zaib Shah dalam ucapannya berkata lawatan suai kenal juga diadakan untuk membuka laluan kepada potensi kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pelaburan, pendidikan, pelancongan dan kebudayaan.

Majlis pada malam itu turut disajikan dengan persembahan tarian kebudayan serta pertukaran cenderamata sebagai kenang-kenangan.

Turut hadir, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Seri Lee Kim Shin, Datuk Bandar Bandaraya Miri Adam Yii Siew Sang dan wakil Setiausaha Tetap Kementerian MTCP Dolhadi Mazuki.-EDISI UKAS

add comment