Kemenangan GPS Bawa Suara Rakyat Sarawak Di Parlimen

AHAD, 6 NOVEMBER 2022

LAWAS: Kemenangan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini sangat ditagih untuk pastikan suara rakyat Sarawak kuat didengari di Parlimen.

Justeru, Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mahu rakyat Sarawak terus menyokong GPS yang bukan sahaja parti tempatan Sarawak, tetapi juga parti yang didasari perjuangan anak tempatan.

“Dengan kemenangan dalam PRU15 ini membolehkan suara kita akan bertambah kuat di Parlimen dan ini akan dapat membantu kita dalam usaha untuk menegakkan apa yang menjadi hak kita.

“Kita juga mahu kemajuan infrastruktur, pendidikan, kesihatan, komunikasi, ekonomi, kebajikan, pembangunan digital ekonomi akan menjadi lebih maju dan lebih baik.

“Kita akan terus berjuang dan inilah perjuangan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Jentera Kempen PRU 15 P.222 Parlimen Lawas di Gelanggang Arena Lawas di sini pada Sabtu. 

Sementara itu, calon GPS Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong berkata, perjuangan GPS masih belum selesai terutama dalam membawa pembangunan di daerah Lawas ini.

“Kemenangan GPS di Lawas ini amat penting kerana jika tidak kita juga akan rugi. 

“Jika kita menang kita akan teruskan usaha kita bersama,” katanya.

Hadir sama calon GPS Parlimen Lawas Dato’ Henry Sum Agong, Setiausaha Politik Premier Sarawak Awangku Zainal Abidin Dato Pengiran Jawa, Datuk Nelson Balang Timing dan Sam Laya serta Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Liaw Hoe Peng. -EDISI UKAS

add comment