PRU-15: Pertandingan Tiga Penjuru di Parlimen Miri

AHAD, 6 NOVEMBER 2022

MIRI: Kerusi Parlimen Miri menyaksikan pertandingan tiga penjuru di antara calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang masing-masing menampilkan muka baharu.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Miri Abdul Rahman Taufik mengumumkan, calon GPS Jeffery Phang Siaw Foong akan bertanding menentang calon PSB Lawrence Lai Yew Son dan calon PKR Chiew Choon Man.

Pengumuman ini telah dilakukan tepat jam 12.28 tengah hari di Pusat Penamaan Calon di Dewan Intrim, Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri pada Sabtu.

Pencalonan calon GPS Jeffery Phang telah dicadang oleh Dato Seri Law Kiu Kiong dan disokong oleh Kaunselor Julaihi Mohamad.

Manakala, calon PSB Lawrence Lai telah dicadang oleh Leslie Ting Siong Ngiap dan disokong oleh Eric Chin Fen Siong sementara calon PKR Chiew Choon telah dicadang oleh Wong Fui Kian dan disokong oleh Ang Siew Loong.

Seawal jam 8.40 pagi calon GPS telah tiba di perkarangan Dewan ILP disusuli calon PKR dan calon PSB.

Di sepanjang jalan utama di luar pagar ILP Miri kelihatan penyokong GPS, PSB , PKR masing-masingnya membawa bendera parti serta melaungkan sokongan terhadap calon masing-masing.

Proses penamaan calon pertandingan tiga penjuru kerusi Parlimen Miri itu dijalankan dalam keadaan terkawal dan tanpa insiden yang tidak dingini berlaku.-EDISI UKAS

add comment