Datuk Julaihi Santuni Penduduk Sebuyau

ISNIN, 7 NOVEMBER 2022

SEBUYAU: Pelaksanaan program Pemimpin Bersama Rakyat adalah salah satu inisiatif pucuk pimpinan kerajaan untuk mendekati rakyat di peringkat akar umbi.

Ia merupakan platform penyampaian maklumat berkaitan inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan serta faedah-faedah yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat.

Dalam pada itu, penduduk di sekitar daerah Sebuyau juga tidak ketinggalan mendapat peluang beramah mesra dengan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi menerusi Program Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Masyarakat Kampung Sungai Ladong di sini pada Isnin.

Beliau ketika berucap memberitahu, kerajaan Sarawak telah menyediakan pelbagai kemudahan serta pembangunan di kawasan Sebuyau.

“Pelbagai kemudahan telah dinikmati oleh penduduk tempatan termasuk aspek telekomunikasi di mana banyak menara telah dibangunkan untuk meningkatkan lagi ketersambungan di sini,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau itu menggesa masyarakat Sebuyau khasnya agar sentiasa memberi sokongan kepada pucuk pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi menjamin pembangunan yang berterusan di Sebuyau dan juga kawasan Parlimen Batang Lupar.

Dalam majlis tersebut, beliau turut berkesempatan memperkenalkan Pegawai Daerah Sebuyau yang baharu, AyuRadiman Bujang serta calon GPS Parlimen Batang Lupar, Mohd Shafizan Kepli kepada penduduk tempatan.

Hadir sama ialah ADUN Beting Maro, Razaili Gapor, Pengarah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak, Ir. Chang Kuet Shian serta Ketua Masyarakat Kampung Sungai Ladong, Ili Saini. -Edisi UKAS

add comment