GPS Lancar Manifesto PRU-15 Yang Menyeluruh, Utamakan Rakyat & Kemajuan Sarawak

AHAD, 6 NOVEMBER 2022

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) melancarkan Manifesto Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang menyeluruh berpaksikan kepentingan rakyat dan mengutamakan masa depan negara.

Bertemakan menjamin Sarawak stabil, maju dan makmur, manifesto itu dirancang berdasarkan lima tonggak utama, 25 teras serta 215 komitmen untuk dilaksanakan.

Menurut Pengerusi GPS merangkap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, ia berperanan sebagai dokumen ‘Aku Janji’ gabungan tersebut kepada rakyat.

Jelasnya, antara perkara utama yang disasarkan oleh GPS menerusi manifesto ini termasuk meneruskan perjuangan mendapatkan semula hak-hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).

“Selain itu, kita berkehendakkan sebuah Kerajaan Sarawak yang berpandangan jauh, berintegriti dan cemerlang.

“Kita juga mahu suasana politik yang stabil dengan hala tuju jelas menuju ke arah tahun 2030,” jelasnya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Manifesto GPS Untuk PRU-15 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Ahad.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari menambah, manifesto ini akan memberi perhatian kepada pembangunan setiap lapisan masyarakat seperti golongan B40, M40, orang muda, pelajar, wanita, kanak-kanak, warga emas, golongan orang kurang berupaya (OKU), penjawat awam serta mereka yang berada di bandar dan juga luar bandar.

“Kita akan memperkenal dan melaksanakan insitiatif serta dasar yang mengutamakan rakyat di samping mengetengahkan dasar sosial agama dan ekonomi yang adil, sama serta inklusif,” ujarnya.

Beliau mengulas lanjut, manifesto itu dilaksanakan supaya GPS terus berjaya mempertingkatkan pendapatan negeri ini.

Sementara itu, Pengerusi GPS itu menegaskan, kerjasama kuat diperlukan antara kerajaan Sarawak dan kerajaan Persekutuan.

Katanya, kejadian yang berlaku semenjak tahun-tahun lepas telah menyebabkan masa dibuang begitu sahaja yang mana kerajaan sepatutnya menumpukan kepada pelaksanaan dasar-dasar untuk manfaat rakyat.

“Kita di sini bebas dari segi politik, dan kita mahukan sebuah kerajaan pusat yang kuat dan stabil.

“Dengan kemelesetan ekonomi global dijangka pada tahun 2023 atau 2024, kita memerlukan dasar-dasar yang berkesan dan boleh memajukan ekonomi selain memastikan kebajikan rakyat terjaga,” katanya.

Hadir sama ialah Timbalan Yang Di-Pertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) merangkap Pengarah Operasi PRU-15 GPS, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Timbalan Yang Di-Pertua PBB merangkap Pengerusi Jawatankuasa Manifesto PRU-15 GPS, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Dato Sri Prof. Dr. Sim Kui Hian, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Joseph Salang Gandum, Naib Presiden Kanan II Parti Demokratik Progresif (PDP), Senator Datuk Paul Igai mewakili Presiden PDP serta Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar. -Edisi UKAS

add comment