Pendekatan Kerajaan GPS Berjaya Gandakan Pendapatan Sarawak

AHAD, 6 NOVEMBER 2022

KUCHING: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah mentadbir urus negeri dengan baik sehingga berjaya menggandakan pendapatan yang diperoleh.

Pengerusi GPS merangkap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg memberitahu, Sarawak telah memperoleh pendapatan melebihi RM10 bilion pada tahun ini.

“Pada masa dahulu, negeri ini biasanya menerima pendapatan dalam lingkungan RM4 bilion hingga RM5 bilion, dan yang paling tinggi adalah RM6 bilion.

“Dalam jangka masa empat tahun, GPS telah mengandakan pendapatan tersebut dan pada tahun ini, kita telah mempunyai pendapatan lebih daripada RM10 bilion,” jelasnya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Manifesto GPS Untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Ahad.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari memberitahu, kejayaan tersebut adalah hasil daripada pendekatan kerajaan di bawah pimpinan beliau dalam memajukan ekonomi Sarawak.

Sementara itu, Pengerusi GPS itu berkata, GPS akan bertanding atas tiket sendiri buat kali pertama pada peringkat PRU dan menampilkan calon-calon yang pelbagai serta berwibawa.

“Sehubungan itu, saya menyeru rakyat Sarawak supaya memberi sokongan kepada GPS kerana GPS sahaja yang boleh menjamin masa depan masyarakat negeri ini.

“Pemimpin GPS bertukar ganti, tetapi semangat untuk mempertahan, memaju dan memakmurkan Sarawak akan terus diperjuangkan,” tegasnya.  

Hadir sama ialah Timbalan Yang Di-Pertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) merangkap Pengarah Operasi PRU-15 GPS, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Timbalan Yang Di-Pertua PBB merangkap Pengerusi Jawatankuasa Manifesto PRU-15 GPS, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Dato Sri Prof. Dr. Sim Kui Hian, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Joseph Salang Gandum, Naib Presiden Kanan II Parti Demokratik Progresif (PDP), Senator Datuk Paul Igai mewakili Presiden PDP serta Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar. -Edisi UKAS

add comment