7 Aspek Ditekankan Dalam Manifesto GPS Parlimen Bintulu

SELASA, 8 NOVEMBER 2022

BINTULU: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing menekankan tujuh aspek dalam manifestonya untuk memajukan kawasan berkenaan.

Presiden Parti Demokraktik Progresif (PDP) itu berkata, beliau akan menjalinkan kerjasama bersama dengan agensi-agensi untuk memastikan manifesto ini dapat dilaksanakan pada penggal ini.

Katanya tujuh aspek tersebut adalah ekonomi, hak kesamarataan dan penjagaan kesihatan awam, menjamin akses pendidikan kepada semua, bandar yang boleh didiami, perkhidmatan awam, keamanan dan keselamatan serta infrastruktur.

“Aspek pertama ialah ekonomi iaitu menaik taraf industri untuk memaju ekonomi ke tahap lebih tinggi dan dan meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta merancakkan pertumbuhan ekonomi mengikut trend dan situasi tempatan.

“Kedua ialah hak kesamarataan dan penjagaan kesihatan awam iaitu memelihara hak kesamarataan dan meningkat penjagaan kesihatan awam serta memanfaatkan sumber berorientasikan rakyat dan menyelamatkan nyawa.

“Ketiga ialah menjamin akses pendidikan kepada semua dengan memastikan pendidikan berkualiti tinggi untuk semua dengan kadar mampu bayar, mudah akses dan menawarkan padanan kemahiran dengan kerjaya masa depan.

“Keempat pula ialah bandar yang boleh didiami iaitu Perancangan tanah secara rasional untuk menambah bina rumah mampu milik kepada masyarakat tempatan.

“Kelima ialah Perkhidmatan Awam iaitu dengan meningkatkan perkhidmatan awam yang dipacu data dan didorong oleh teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam pengurusan rekod awam serta merealisasikan perkhidmatan awam yang cekap dan berkesan.

“Manakala aspek keenam ialah keamanan dan keselamatan iaitu liputan Kamera Litar Tertutup (CCTV) yang luas untuk mewujudkan persekitaran hidup yang lebih aman dan selamat.

“Terakhir ialah aspek infrastruktur iaitu memastikan pembinaan infrastruktur yang berterusan bagi meningkatkan pembangunan setempat,” jelasnya dalam satu sidang media di Hotel Promanade di sini pada Ahad.

Datuk Seri Tiong berkata, tujuh manifesto ini adalah untuk mewujudkan Bintulu lebih baik dan perkongsian bersama dengan sokongan rakyat melalui kerjasama dalam pelbagai perkara untuk perubahan dalam tempoh lima tahun serta kehidupan dan persefahaman yang lebih baik.

Untuk rekod, beliau telah berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Bintulu selama lima penggal dan meneruskannya untuk penggal keenam ini.

Bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Datuk Seri Tiong menghadapi tentangan daripada Duke Janteng dari Perikatan Nasional (PN) dan Chiew Chan Yew dari Parti Tindakan Demokratik (DAP).-EDISI UKAS

add comment