Beri Sokongan, Keyakinan Kepada Kerajaan Sedia Ada

SELASA, 8 NOVEMBER 2022

LIMBANG: Masyarakat perlu memberi sokongan dan keyakinan kepada kerajaan yang sedia ada.

Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi parlimen Limbang Datuk Hasbi Habibollah berkata, ini penting bagi memastikan kelangsungan pembangunan, kemakmuran, kestabilan dan memelihara keharmonian kaum.

“Pada tahun 2021, Sarawak diuji untuk belayar sendiri dengan GPS bagi menghadapi PRN. Syukur kerana kita telah berjaya membuktikan dengan mantap dan maju jayanya dengan memenangi 76 kerusi daripada 82 yang dipertandingkan. Kejayaan Sarawak dalam PRN lepas turut dikagumi oleh negeri-negeri lain di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Penangguhan Pertandingan Bot Kawalan Jauh Peringkat Antarabangsa di Kampung Tanjong di sini pada Isnin.

Datuk Hasbi yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar menambah, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) juga telah sah disokong oleh Yang di-Pertuan Agong menjadi sebahagian daripada Perlembagaan Malaysia.

“Kita telah mulai menuntut hak-hak kita dan kejayaan memasukan MA63 ini adalah hadiah untuk generasi muda,” ujar beliau lagi.

Sementara itu, bercakap mengenai Pertandingan Bot Kawalan Jauh Peringkat Antarabangsa itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang memberitahu, penganjurannya selama dua hari itu turut mendapat penyertaan peminat sukan berkenaan daripada luar kawasan Limbang.“Peserta adalah terdiri daripada 11 pasukan iaitu empat pasukan dari negara Brunei, tiga pasukan daripada Limbang dan masing-masing satu pasukan dari Miri, Kanowit, Labuan serta Bintulu.

Hadir sama ialah Residen Bahagian LimbangSebi Abang.-EDISI UKAS

add comment