Hantar Pelajar Berpendapatan Rendah Ke Riam Hill International Secondary School – Premier Sarawak

SELASA, 8 NOVEMBER 2022

MIRI: Kerajaan Sarawak melalui Yayasan Sarawak akan meneliti cadangan menghantar pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah di negeri ini untuk melanjutkan pelajaran ke Riam Hill International Secondary School (RHISS). 

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pelajar-pelajar yang berkelayakan boleh dihantar ke sekolah itu untuk meneruskan pelajaran mereka. 

Menurutnya, sekolah tersebut menawarkan sukatan pelajaran Cambridge yang bertaraf antarabangsa, sekaligus menjamin masa depan pelajar yang belajar di situ.

“Yayasan Sarawak akan meneliti cadangan itu. Sekiranya terdapat pelajar berkelayakan, kita akan menghantar mereka yang terdiri daripada golongan berpendapatan rendah untuk belajar di sekolah ini. 

“Sukatan pelajaran yang dilaksanakan di RHISS adalah global, jadi ia akan memberikan masa depan cerah untuk pelajar sekolah ini,” katanya ketika majlis ‘Official Opening of Riam Hill International Secondary School’ di Miri pada Selasa. 

Sementara itu, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari memberitahu, kerajaan Sarawak akan memperuntukkan geran padanan untuk pembinaan infrastruktur tambahan RHISS di kawasan Senadin. 

“Setelah pihak Lembaga RHISS mengenalpasti tapak untuk kampus di Permyjaya, kerajaan akan memberi geran padanan untuk pembangunannya. 

“Ini adalah kerana ia adalah penting untuk membangunkan bakat-bakat yang ada di Sarawak,” jelasnya sebagai menjawab permohonan geran oleh Ketua Pegawai Eksekutif Riam Road Secondary School, Dr Pauline Ho. 

Ujarnya lagi, usaha kerajaan Sarawak untuk mendirikan sekolah antarabangsa adalah supaya sukatan pelajaran seumpamanya dapat diakses oleh masyarakat Sarawak terutamanya untuk golongan berpendapatan rendah. 

Hadir sama ialah Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Prof. Dr. Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Datuk Bandaraya Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Datu Dr. Muhammad Abdullah Zaidel dan Residen Miri, Abdul Aziz Mohd Yusuf. -Edisi UKAS

add comment