Kempen Kesedaran Awam Kebersihan & Keselamatan Sungai, Persediaan Hadapi Musim Banjir

SELASA, 8 NOVEMBER 2022

MIRI: Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) telah menganjurkan program ‘Kempen Kesedaran Awam Kebersihan dan Keselamatan Sungai’ bagi persediaan menghadapi musim banjir yang dijangka akan berlaku dalam masa yang terdekat.

Dalam pada itu, program ini turut diadakan untuk menyeru agar penduduk di kawasan sekitar sungai untuk sentiasa menjaga keselamatan masing-masing terutamanya pada musim banjir di samping memberi pendedahan dan kesedaran kepada masyarakat setempat tentang kepentingan untuk memelihara serta menjaga kebersihan sungai.

Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap ADUN N.75 Senadin  Dato Sri Lee Kim Shin berkata, para ibu bapa perlulah sentiasa mengawasi keselamatan anak-anak terutamanya pada musim banjir.

“Ini adalah kerana pada musim banjir, air sungai boleh mengalir dengan deras dan kemalangan akan mudah berlaku.

“Orang awam juga turut diingatkan agar terus lebih berhati hati dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa demi keselamatan,” tegas beliau.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Kempen Kesedaran Awam Kebersihan dan Keselamatan Sungai bertempat di Balai Raya Kampung Piasau Utara, Miri pada Ahad.

Selain itu, beliau juga turut menekankan agar kebersihan di kawasan persekitaran sungai untuk dititik beratkan memandangkan penyakit akan lebih senang untuk menular dalam keadaan banjir melalui sampah sarap yang dibawa oleh air banjir.

Seramai 130 peserta telah hadir ke program tersebut yang terdiri daripada para nelayan dan para penduduk.

Pelbagai aktiviti telah diadakan seperti sesi ceramah, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak dan penyerahan jaket keselamatan kepada para nelayan di kawasan berkenaan.

Turut Hadir, Datuk Bandaraya Miri Merangkap Adun N.74 Pujut Adam Yii Siew Sang, Pengerusi Lembaga Sungai-Sungai Sarawak Dr. Murni Suhaili, Penghulu Samion Ghani dan Ketua Kaum Kampung Piasau Utara, Hipni Sulong.- EDISI UKAS

add comment