Laparoscopic Tower Dijangka Dapat Mengurangkan Masa Menunggu Bagi Kes Kecemasan

SELASA, 8 NOVEMBER 2022

BINTULU: Kerajaan Sarawak memberikan sumbangan Laparoscopic Tower kepada Jabatan Pembedahan Hospital Bintulu.

Menurut Timbalan Residen Bahagian Bintulu Hussaini Hakim, kemudahan ini bertujuan mengurangkan masa menunggu bagi kes kecemasan serta membolehkan kes kompleks major dijalankan di Bintulu tanpa perlu pesakit dihantar ke Kuching.

“Saya bagi pihak masyarakat khususnya di Bahagian Bintulu ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Premier Sarawak dan Kerajaan Sarawak atas keprihatinan yang tinggi dalam aspek penjagaan kesihatan melalui sumbangan Laparoscopic Tower yang bernilai RM458,000,” katanya.

Beliau berucap merasmikan penyerahan Laparoscopic Tower di Hospital Bintulu di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Hussaini berharap Hospital Bintulu dapat terus memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat, khasnya penduduk Bintulu.

Tegas beliau lagi, perkhidmatan yang terbaik dan berkualiti sudah tentu akan mencerminkan profesionalisme warga kerja Hospital Bintulu sesuai dengan tagline Hospital Bintulu “Penyayang, Kerja Berpasukan dan Profesionalisme Adalah Budaya Kerja Kita”.

Hadir sama Pengarah Hospital Bintulu Dr Suzalinna Sulaiman dan Ketua Jabatan Pembedahan Am Hospital Bintulu Dr Ernest Ong Cun Wang.-EDISI UKAS

add comment