NRDA Pemangkin Pembangunan Berterusan Di Limbang Dan Lawas

SELASA, 8 NOVEMBER 2022

LAWAS: Bahagian Limbang di utara Sarawak tidak akan disisihkan daripada pembangunan di negeri ini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, untuk itu Kerajaan Sarawak telah menubuhkan Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) bagi memastikan pembangunan di daerah Limbang dan Lawas diteruskan demi kesejahteraan rakyatnya. 

“Saya dengan rakan-rakan telah menubuhkan NRDA kerana kita tahu bahawa kawasan ini berkehendakan pembangunan insfrastruktur tersusun dan yang akan memberi manfaat kepada rakyat di kawasan ini. 

“Dan, kawasan ini berkehendakan dana yang banyak disebabkan kos bahan yang tinggi. Maka, sebab itu kita tubuhkan NRDA dan kita beri peruntukan khas kepada NRDA sebanyak RM1.5 bilion,” katanya semasa berucap merasmikan Program Sarawakku Sayang di Long Tuma, Lawas di sini pada Selasa.

Mengulas mengenai program Sarawakku Sayang ini, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari menjelaskan ia bukan program baharu tetapi telah diadakan sebelum penularan pandemik COVID-19 yang bertujuan mempamerkan perkhidmatan yang dilaksanakan kementerian, jabatan dan agensi Kerajaan Sarawak, program Sarawakku Sayang ini juga bertujuan mendekatkan pemimpin Sarawak kepada rakyat di peringkat akar umbi. 

Ini merupakan program keempat diadakan daripada 10 kawasan keseluruhannya di seluruh Sarawak.

Dalam pada itu, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari turut memberitahu Kerajaan Sarawak akan melaksanakan pembinaan Lapangan Terbang Lawas pada peringkat awal ini. 

Projek bernilai RM600 juta ini akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan pembangunan di daerah Lawas keseluruhannya. 

“Kalau kerajaan pusat tidak mahu, demi untuk orang Lawas kita buat lapangan terbang sendiri. Bukan murah RM600 juta. 

“Orang KL tidak mahu beri biarlah kita (Kerajaan Sarawak) yang buat. Bukan saya hendak sombong, kerana orang Lawas telah tunggu lama,” ujarnya lagi. 

Dalam pada itu, Premier Sarawak turut mengumumkan persetujuannya terhadap permintaan Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia Dato Henry Sum Agong mengenai pembinaan pelabuhan di Lawas. 

Jelasnya lagi, pelabuhan ini nanti akan menjadi salah satu tarikan utama kepada pelabur-pelabur luar untuk datang ke Lawas dan meningkatkan potensi kawasan ini sebagai tarikan perindustrian baharu di utara Sarawak. 

“Lawqs akan mempunyai pelabuhan kerana akan ada pelabur yang datang ke sini dan ia akan dibina di Pulau Sari yang mempunyai laut yang dalam,” 

Ujar beliau lagi, turut akan dibina ialah jaringan jalan raya yang akan menjadi salah satu tarikan pelaburan asing ke Lawas dan kemudahan rakyat di negeri ini. 

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia Dato Henry Sum Agong, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datu Mohamad Abdullah Zaidel.-EDISI UKAS

add comment