Pertandingan Bola sepak Liga Veteran 11 Kampung Awat-Awat Lancar Diadakan

SELASA, 8 NOVEMBER 2022

LAWAS: Pertandingan Bola sepak Liga Veteran 11 Kampung Awat-Awat diadakan dengan lancar serta diserikan lagi dengan kehadiran Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia Dato’ Henry Sum Agong.

Semasa berucap pada perlawanan bola sepak bertempat di Padang Kampung Awat-Awat, Sundar, Lawas di sini pada Ahad, beliau berkata hanya satu pasukan saja yang akan dinobatkan menjadi juara walaupun banyak pasukan yang mengambil bahagian.

Menyentuh mengenai Pilihan Raya Umum (PRU-15) yang akan diadakan tidak lama lagi, beliau berkata sudah pasti banyak parti yang bertanding namun hanya satu parti sahaja yang akan menang kelak.

Justeru, beliau menyeru agar masyarakat di situ memberi sokongan kepada GPS yang bukan sahaja mampu untuk memberikan kemajuan dan menjaga kebajikan rakyat, malah untuk masa depan generasi akan datang.

Turut hadir Setiausaha Politik Premier Sarawak Kr Awangku Zainal Abidin, Kr Matasan Awang Jamal dan ketua-ketua kampung. – EDISI UKAS

add comment