PRU15: Calon GPS Terbaik Untuk Parlimen Lawas

SELASA, 8 NOVEMBER 2022

LAWAS: Rakyat di daerah Lawas perlu terus memberikan sokongan kepada calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Dato Henry Sum Agong pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ini kerana beliau telah menunjukkan prestasi baik pada penggal lepas dengan membawa banyak pembangunan di daerah Lawas.

“Beliau telah mendapat peruntukan yang banyak bagi membina Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) jalan-jalan serta bina baru dan baik pulih rumah sebelum ini.

“Manakala, dari segi perancangan, kita mahu jadikan Lawas ini sebagai tempat menarik pelaburan selain itu meningkatkan lagi perusahaan kecil dan sederhana,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Program Jelajah Ranting Kampung Aru Ulu, Lawas pada Isnin.

Mengulas lanjut, Datuk Amar Awang Tengah memberitahu Kerajaan Sarawak terus membangunkan Lawas dengan pelbagai pembangunan dan kemudahan kepada rakyat.

“Ini termasuklah kemudahan-kemudahan infrastruktur di kampung-kampung.

“Kita juga merancang membina jambatan di Sundar ini bagi menyeberangi Sungai Sundar untuk kemudahan penduduk kampung serta pembinaan Lapangan Terbang Lawas Fasa Pertama,” jelasnya.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Haji Mohamad Asfia Awang Nassar, calon GPS Dato’ Henry Sum Agong, Setiausaha Premier Sarawak Kaunselor Awangku Zainal Abidin Dato Pengiran Haji Jawa dan Ketua Ranting PBB ARU Ulu Reduan Ali.-EDISI UKAS

add comment