Rakyat Sarawak Mampu Menilai Pencapaian GPS

SELASA, 8 NOVEMBER 2022

BINTULU: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Sri Tiong King Sing yakin rakyat Sarawak mampu menilai pencapaian gabungan parti tempatan itu untuk mentadbir negeri ini.

Justeru, katanya, para pengundi perlu bijak dalam  menjalankan tanggungjawab mereka untuk memilih kerajaan yang bakal menguruskan Sarawak bagi tempoh lima tahun akan datang.

Jelas beliau, mandat besar membantu kerajaan Sarawak di bawah GPS meneruskan perjuangan untuk mempertahankan hak-hak Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Malah, penyandang lima penggal kerusi Parlimen Bintulu itu percaya, jika mandat diserahkan semula kepada gabungan parti tempatan itu melalui Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), usaha untuk mempertahankan hak-hak yang terhakis dapat diteruskan dengan lebih progresif.

“Hanya wakil rakyat yang lahir daripada parti politik tempatan yang mampu memahami dengan jelas cara untuk mentadbir dan meneruskan aspirasi yang dituntut rakyat Sarawak.

“GPS terus menerus melaksanakan pembangunan yang lebih holistik dan inklusif kepada setiap penduduk di Sarawak termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Kemenangan besar GPS pada PRU-15 kelak akan menggandakan usaha membawa suara kerajaan negeri ke Parlimen untuk diberi perhatian sewajarnya oleh pihak berkaitan.

“Antaranya dapat dilihat melalui usaha kerajaan negeri untuk mendapatkan kembali hak negeri yang terhakis dalam MA63,” ujarnya semasa berucap dalam program santai bersama pengundi di kawasan DUN Jepak, di sini pada Isnin.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Bintulu untuk keluar mengundi dengan bijak pada 19 November ini sekaligus memberikan kemenangan besar kepada GPS bagi membolehkan gabungan parti tempatan itu meneruskan kesinambungan pembangunan yang dilaksanakan. – EDISI UKAS

add comment