Sarawak Kini Miliki Makmal Pengujian Dapur Gas Domestik SIRIM

SELASA, 8 NOVEMBER 2022

KUCHING: Kerajaan Sarawak amat memandang serius terhadap keselamatan penggunaan peralatan Dapur Gas Domestik di negeri ini.

Sehubungan itu, menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, pihak SIRIM telah berjaya melancarkan Makmal Pengujian Dapur Gas Domestik di Sarawak dengan kerjasama Kementerian Utiliti & Telekomunikasi Sarawak (MUT).

“Makmal Pengujian Dapur Gas Domestik yang baharu di Kompleks SIRIM Berhad Negeri Sarawak ini membuktikan bahawa Kerajaan Sarawak amat memandang serius terhadap keselamatan penggunaan peralatan Dapur Gas Domestik di Sarawak.

“Pembangunan makmal ini dapat memastikan setiap peralatan diuji dan dinilai oleh SIRIM QAS International iaitu anak syarikat SIRIM sebelum ia dapat dipasarkan dan digunakan oleh rakyat di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibaca oleh Menteri Utiliti Dan Telekomunikasi, Datuk Julaihi Narawi ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Makmal Gas Domestik dan Majlis Pertukaran Dokumen Memorandum Persefahaman (MOU) di Kuching, pada Selasa.

Premier Sarawak menambah, beliau juga menggesa para penggiat industri di Sarawak terutamanya pengimport barangan dapur gas domestik agar terus melaksanakan pengujian ke atas produk mereka yang kini boleh dilaksanakan di Kuching, Sarawak tanpa perlu menghantar ke Semenanjung Malaysia.

Justeru itu, beliau turut menaruh harapan tinggi kepada MUT dan SIRIM untuk terus menyumbang dan bekerjasama ke arah pertumbuhan ekonomi untuk merancakkan semua sektor industri di Sarawak.

Sementara itu, mengulas dalam sidang media selepas itu, Datuk Julaihi memberitahu, SIRIM dapat membantu merancakkan pembangunan industi gas di Sarawak melalui kepakaran mereka dalam memastikan kualiti dalam peringkat negara mahupun antarabangsa.

“Kita amat menghargai kerjasama sama ada secara langsung melalui pihak kementerian ataupun agensi kerajaan Sarawak dengan pihak SIRIM kerana kita tahu bahawa SIRIM mempunyai banyak kepakaran dari segi memastikan kualiti dan piawaian yang diterima dalam peringkat negara ataupun peringkat antarabangsa.

“SIRIM memainkan peranan yang penting dalam perkara ini kerana mereka adalah penetap piawaian domestik termasuk antarabangsa dan kita berharap dapat terus mengekalkan kerjasama yang erat dengan mereka,” ujarnya.

Turut hadir, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Tan Sri Datuk Amar Dr Abdul Aziz Husain, Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Jafri Lias, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM Berhad, Dato’ Indera Dr Ahmad Sabirin Arshad dan Pengurus Besar SEDC, Datu Abdul Hadi Datuk Abdul Kadir. -EDISI UKAS

add comment