SELASA, 8 NOVEMBER 2022
SPAOH: Bekas Ahli Parlimen Betong, Datuk Robert Lawson Chuat menolak untuk dicalonkan semula bagi mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) atas kerelaan beliau sendiri.
Beliau menjelaskan keputusan itu dibuat bukan disebabkan dipaksa tetapi lebih kepada keputusan peribadi.
“Saya juga mahu memberi laluan kepada pemimpin baharu dan lebih muda,” katanya semasa taklimat pilihan raya pemimpin akar umbi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di dua majlis berasingan di sini, pada Selasa.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Parlimen Betong, Dr Richard Rapu.
Datuk Robert Lawson memulakan kerjaya politiknya apabila beliau bertanding dalam pilihan raya di DUN Bukit Saban pada 2006 dan pada 2011 untuk penggal kedua.
Beliau kemudian meneruskan khidmat sebagai Ahli Parlimen Betong pada pilihan raya, Mei 2018.
Dalam pada itu, beliau menggesa semua pengundi Betong terutamanya pengundi 18 tahun dan pengundi baharu untuk memberikan sokongan penuh mereka kepada Dr Richard.
“Saya yakin Dr Richard sebagai pengganti saya akan memimpin Betong berdasarkan pengalaman luas beliau sebagai setiausaha politik selama tidak kurang daripada 14 tahun di peringkat persekutuan dan negeri.
“Beliau juga tidak asing lagi pada penduduk Betong,” jelasnya.
Tambah Datuk Robert Lawson, Ahli Parlimen Sarawak mempunyai tugas yang sangat penting untuk dilaksanakan di peringkat parlimen khususnya berkaitan hak Sarawak dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Kita berharap, Betong dapat menyumbang satu lagi kerusi parlimen kepada GPS.
“Jika GPS boleh memenangi kesemua 31 kerusi pada PRU-15, suara Sarawak akan menjadi lebih kuat,” ujar sambil berkata kejayaan itu juga penting untuk memastikan Sarawak dan Sabah menuntut 35 peratus kerusi parlimen seperti yang termaktub di dalam MA63.
-EDISI UKAS