PRU-15: Calon GPS Parlimen Miri Berazam Perjuang Tingkatkan Kualiti Pendidikan Sarawak

SELASA, 9 NOVEMBER 2022

MIRI: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Parlimen Miri Jeffrey Phang Siaw Foong berazam untuk meningkatkan kualiti pendidikan di negeri ini.

Jeffrey Phang berkata, beliau mahu memperjuangkan autonomi pendidikan untuk Sarawak bagi memastikan rakyat di negeri ini mendapatkan pendidikan yang terbaik dan berkualiti.

“Sebelum ini, kita mempunyai sekolah dalam keadaan kurang elok, jadi kita buat rayuan kepada kerajaan Persekutuan untuk pembiayaan dan pengubahsuaian tetapi kita semua tahu kisah itu dan apa yang sebenarnya berlaku.

“Begitu juga pada 14 Oktober lepas semasa saya bersama Dato Sri Lee Kim Shin ke Sekolah Kebangsaan Merbau yang mana bumbung tempat menunggu telah diterbangkan angin.

“Dalam keadaan itu, kerja-kerja pembaikan yang mudah untuk dilakukan oleh kami, memerlukan kebenaran daripada Kementerian Pendidikan di peringkat persekutuan dahulu.

“Ini adalah antara sebab kita memerlukan autnomi pendidikan iaitu bagi memudahkan kita membuat keputusan untuk menambah baik suasana pembelajaran yang lebih kondusif untuk para pelajar dan memudahkan proses pembelajaran mereka,” katanya dalam sidang media di sini pada Rabu.

Selain itu katanya, beliau juga mahu mewujudkan program pendidikan yang menyediakan kerjaya serta memperluas dan  menaik taraf sekolah teknik dan vokasional sedia ada.

“Kita perlu membawa masuk kolej matrikulasi ke utara Sarawak terutamanya di Miri kerana bandar Miri merupakan bandar kedua terbesar di negeri ini supaya pelajar mereka tidak perlu pergi jauh ke negeri lain sekaligus memberi peluang kepada pelajar Sarawak belajar di dalam negara,” ujarnya lagi.

Hadir sama Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin Dato Sri Lee Kim Shin.-EDISI UKAS

add comment