PRU15: GPS Perlukan Sokongan Rakyat Sarawak Dalam Perjuangkan Hak Sarawak Di Parlimen

RABU, 9 NOVEMBER 2022

SELANGAU: Keputusan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bertanding di  31 kerusi Parlimen di Sarawak dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini adalah bagi membolehkan usaha memperjuangkan hak Sarawak di dalam Parlimen diperkuatkan. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju Dato Majang Renggi berkata, ketika ini Sarawak telah berjaya mendapatkan beberapa perkara dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang sekaligus digunakan untuk membangunkan Sarawak. 

Jelas beliau lagi apabila GPS menang di kesemua 31 kerusi Parlimen pada PRU-15 nanti, sudah pasti suara Sarawak semakin kuat dan ini membolehkan perjuangan mendapatkan hak Sarawak menjadi lebih mudah. 

“PRU-15 ini sangat penting bagi GPS untuk pastikan suara Sarawak didengari di Parlimen. 

“Apabila suara GPS kuat, adalah mudah untuk kita memperjuangkan hak Sarawak yang termaktub dalam MA63,“ katanya semasa berucap dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Saga Kampung Melinau di sini pada Selasa. 

Mengulas lanjut, Dato Majang mengajak rakyat di Parlimen Selangau terus menyokong GPS seperti yang telah ditunjukkan dalam Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) Sarawak lepas. 

“Jadikan pengajaran pada PRU-14 apabila rakyat di Parlimen Selangau memberikan sokongan kepada calon Parti Keadilan Rakyat (PKR). 

“Apabila menang bukan sahaja kawasan Parlimen Selangau ditinggalkan begitu sahaja, tetapi juga wakil itu kini telah bertanding di Parllimen Lawas tanpa membawa sebarang pembangunan di Selangau,” ujarnya. 

Hadir sama calon GPS Parlimen Selangau Edwin Banta.-EDISI UKAS

add comment